BACA TITAH SULTAN MUHAMMAD V BUAT RAKYAT KELANTAN
https://selamanyaviral.blogspot.com/2014/12/baca-titah-sultan-muhammad-v-buat.html
Perkembangan muktaakhir ini, negara pada amnya, dan negeri
kelantan khasnya telah ditimpa musibah banjir yang agak luar biasa. Banjir yang
menimpa rakyat beta adalah sebahagian dari qada dan taqdir Allah. Hal ini harus
di yakini dan di imani.
Atas dasar keimanan, musibah perlu diterima dengan penuh
berlapang dada, bersabar bertawwakal kepada allah yang maha kuasa.
Ekoran musibah banjir yang melanda ini rakyat beta,
berhadapan dengan ketakutan, kelaparan, kerusakan harta benda, kematian, dan
kekurangan hasil mahsul.
Beta berharap rakyat dapat menghadapi musibah ini dengan
banyak berfikir dan berzikir ke hadrat Allah.
Beta merakamkan ucapan tazkiah kepada mangsa banjir. Beta
amat dukacita dan berkongsi rasa simpati atas kerusakan harta benda, kehilangan
nyawa, rasa ketakutan dan gundah gulana.
Beta mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan dan
agensi negeri, persekutuan, pihak ngo, swasta, individu, seluruh masyarakat
yang telah bersatu hati dalam usaha membantu, memberi pertolongan kepada
mangsa-mangsa banjir.
Kepada semua ahli masyarakat, harus bersikap peka dan
sensitif terhadap musibah ini. Janganlah ada dikalangan ahli masyarakat yang
tidak sensitif, ingin menangguk di air keruh, dengan menyebarkan berita-berita
yang menambahkan kekeruhan dan kekusutan dalam masyarakat. Ujian sebegini rupa,
bukan masa untuk mana-mana pihak menunding jari, menelanjang, menyalahkan
pihak-pihak tertentu.
Beta berharap kepada seluruh alim ulama, dan masyarakat
terus berdoa, mengadakan sembahyang hajat dimasjid dan surau agar ujian dan
musibah ini tidak bertambah buruk, malah segera pulih.
Marilah kita segera meneropong diri, mohon keampunan
daripada allah, serta memperbaiki langkah-langkah kita, yang mungkin telah
banyak membuat kesilapan.
Marilah kita menghulurkan tangan persahabatan dengan alam
sekitar. Marilah kita sama-sama sedar bahawa segala macam musibah bencana dan
malapetaka yang terjadi semua itu akibat dari olahan tangan-tangan kita.
Semoga allah mengampuni kita semua dan menjadikan musibah
ini dengan kebaikan yang banyak.