"Umie, Maafkan Abang Kerana Rumah Kita Dilelong" - Khairuddin
https://selamanyaviral.blogspot.com/2015/01/umie-maafkan-abang-kerana-rumah-kita.html
PUTRAJAYA: Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan memohon maaf kepada isterinya, Umie Aida kerana mengheret pelakon itu ke dalam isu lelongan rumah yang dikatakan mencecah harga RM2.1 juta pada Sabtu lepas.
Bagaimanapun jelasnya, Umie dilihat terlalu tabah dan sentiasa memberi sokongan moral kepadanya walaupun mengharungi saat getir di dalam hidupnya akhir-akhir ini.
"Saya mohon maaf kepada Umie kerana banyak mengheretnya dalam isu ini, namun dia selalu memberi sokongan dan semangat kepada saya sepanjang perjuangan ini.
"Umie tenang dan cekap sepanjang menghadapi pahit getir perjuangan ini, dia ialah seorang isteri yang amat cekal dan miliki kekuatan yang menakjubkan," katanya semasa sidang media sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Sebelum ini Khairuddin menafikan diberitahu mengenai lelongan rumahnya selain tidak tahu menahu atau diberi sebarang notis atau writ mengenai lelongan itu.
Sebuah akhbar juga melaporkan, seorang wanita dari Damansara yang enggan dikenali memberitahu membeli rumah Khairuddin selepas tiada mana-mana pihak membida rumah tersebut ketika lelongan dibuat.
Bagaimanapun katanya, isu rumah itu hanyalah salah faham selain mengakui sudah ada pembeli dengan harga RM5.8 juta untuk unit rumah berkenaan.
"Memang rumah itu hendak dijual tetapi bukan dilelong dengan harga yang begitu rendah. Saya sudah mengambil peguam untuk mencabar keputusan lelong berkenaan.
"Tambahan saya sendiri dimaklumkan mengenai lelongan itu pada 13 Januari sedangkan ia berlangsung dua hari sebelumnya," jelasnya.
Dalam isu berasingan, Khairuddin menggesa SPRM untuk menyiasat seluruh Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang memberi kelulusan kepada pelbagai transaksi perniagaan yang didakwanya tidak telus.
"Buat masa kini, saya terpaksa menghormati undang-undang kerana semuanya di peringkat siasatan," katanya.
Khairuddin yang mencetuskan kontroversi apabila membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya juga didakwa diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi pada 24 Mei 2013.
Sebelum ini, Pemuda UMNO Bahagian Batu Kawan turut meminta status dan kedudukan Khairuddin dalam politik disiasat Lembaga Disiplin UMNO.
Dalam pada itu kata Khairuddin, dia tidak menafikan kemungkinan untuk keluar daripada parti berikutan serangan peribadi yang diterimanya.
"Mereka melakukan semua jenis serangan peribadi terhadap saya, tetapi saya hanya ingin memberitahu yang mereka sangat bodoh.
"Apa yang dilakukan pihak yang cuba menjatuhkan saya kini memakan diri mereka sendiri sekarang," ujarnya.