Akaun Twitter Palsu Sebar Hadis Palsu Atas Nama Ustaz Kazim
https://selamanyaviral.blogspot.com/2015/03/akaun-twitter-palsu-sebar-hadis-palsu.html
IPOH – Sebanyak 16 akaun Twitter dipercayai palsu menggunakan nama Ustaz Kazim Elias dikesan selepas penceramah terkenal itu membuat penafian mempunyai akaun Twitter.
Berdasarkan semakan Sinar Harian, lima daripada akaun Twitter tersebut menggunakan gambar profil yang sama iaitu gambar Datuk Mohamad Kazim Elias manakala selebihnya menggunakan gambar berlainan.
“Saya tiada akaun Twitter. Saya cuma ada akaun Facebook sahaja,” katanya kepada media, semalam.
Mohamad Kazim berkata demikian ketika menjelaskan mengenai penyebaran bukti kononnya beliau menyebarkan hadis palsu melalui Twitter.
Menurutnya, tindakan pihak tertentu yang menggunakan akaun Twitter palsu untuk membuktikan mereka berkata benar adalah sangat mengecewakan dan menyifatkan perbuatan memuat naik printscreen Twitter bertujuan menjatuhkan dan memburukkan kredibilitinya.
“Setakat ini saya ada seramai 945,000 pengikut (follower) di dalam Facebook saya dan segala persoalan berbangkit akan dijawab melalui Facebook,” katanya.
Beliau berkata, kewujudan akaun Twitter palsu yang memaparkan hadis palsu turut dikhuatiri akan menjejaskan kredibilitinya sebagai penceramah bebas memandangkan akaun berkenaan masih aktif.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ketika ditanya mengenai tindakan penyamaran melibatkan Mohamad Kazim berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap setiap aduan yang dikemukakan berhubung penyalahgunaan laman sosial.
Ketua Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Raffie Abd Rahman berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis bagi menjalankan siasatan.
Bagaimanapun menurutnya, pengguna juga perlu melaporkan masalah dihadapi kepada penyedia perkhidmatan seperti Facebook dan Twitter agar tindakan dapat diambil.
KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA

.jpg)