Gara-Gara Terlalu Jaga Tepi Kain Jiran, Wanita Ditikam
https://selamanyaviral.blogspot.com/2015/03/gara-gara-terlalu-jaga-tepi-kain-jiran.html
KUALA TERENGGANU - Terlalu marah dan berang, seorang lelaki sanggup menikam jirannya dalam kejadian di Kampung Atas Tol awal pagi semalam kerana tidak tahan dengan sikap mangsa yang suka menjaga tepi kain keluarganya.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 1.30 pagi itu, mangsa yang juga seorang pesara guru bersama dengan ahli keluarganya dalam rumah, dikejutkan dengan suara jeritan lelaki itu yang mengamuk di luar pagar rumah mereka.
Terkejut dengan keadaan itu, suami mangsa menjengah ke luar rumah dan ternampak suspek yang juga jiran mereka sedang mengamuk dan memaksanya membuka pintu pagar.
Suspek juga bertindak seperti orang kurang siuman yang turut mengugut mahu membunuh mangsa sekeluarga kerana tidak berpuas hati dengan jirannya yang suka menjaga tepi kain keluarganya.
Bimbang dengan perkara yang tidak diingin berlaku, suami mangsa mengambil keputusan untuk berdiam diri dalam rumah. Namun suspek berjaya menceroboh rumah mangsa melalui pintu belakang.
Terkejut dengan tindakan suspek, mangsa bersama suami serta pembantu rumah lari menyembunyikan diri di belakang pintu sehingga yakin suspek telah keluar dari rumah mereka.
Malangnya, tekaan mereka meleset kerana sejurus keluar dari tempat persembunyian, suspek terus menyerang dan menikam mangsa pada bahagian rusuk menggunakan sebilah pisau sebelum melarikan diri.
Suami mangsa yang terkejut pada ketika itu tidak mampu berbuat apa-apa terus menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan dan membuat laporan di Balai Polis Chendering.
Siasatan awal pihak polis mendapati, suspek mengaku telah menelan beberapa biji pil kuda sebelum menyerang mangsa sekeluarga dan hasil ujian urin juga mendapati suspek positif dadah.
Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan.
Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan berada dalam keadaan stabil.
KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA