Pelaksanaan Hudud Lepaskan Anwar Dari Hukuman Liwat
https://selamanyaviral.blogspot.com/2015/03/pelaksanaan-hudud-lepaskan-anwar-dari.html
KOTA BHARU: “Anwar akan lepas jika hudud dilaksanakan,” itu reaksi spontan calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Aslah Mamat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung Rang Undang-undang Jenayah Syariah II (1993) pindaan 2015 yang baru diluluskan di dalam sidang DUN semalam.
Menurut beliau, hukum hudud akan melepaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
“Pada saya sekiranya undang-undang hudud (dikenakan ke atas Anwar), saya rasa Anwar tidak disabitkan kesalahan, boleh dilepas.
“Kerana hudud ini merupakan satu undang-undang yang tidak boleh direka oleh manusia, ia sudah tertakluk di dalam Al Quran.
“Kalau seseorang melakukan kesalahan, paling tidak dia memerlukan empat orang saksi, dan saksi ini bukan orang sebarangan, mesti mereka yang tergolong di kalangan orang-orang yang tidak terlibat dengan dosa-dosa.
“Jadi kalau ikut hudud, Anwar tidak akan disabitkan dengan kesalahan itu, dia tidak akan boleh dihukum walaupun dia melakukan perbuatan itu, kerana tiada bukti,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post.
Beliau turut menambah, hukuman yang dijalani Anwar sekarang disifatkannya sebagai tidak patut memandangkan faktor Anwar yang sudah berusia.
Malah menurut Aslah, sistem perundangan di Malaysia tidak memperlihatkan keadilan dan digunakan atas dasar kepentingan politik.
“Melihat kepada kesalahan ini, saya rasa undang-undang yang ada sekarang tak harus diguna pakai, soal salah tetap salah.
“Lagipun kita lihat Anwar ini sudah berusia, jadi tidak adil oleh kerana kepentingan politik maka undang-undang ini dipakai, duduklah Anwar dalam penjara,” tambah beliau.
Mengulas lanjut berhubung pindaan Enakmen Hudud yang baru diluluskan semalam, Aslah berpandangan bahawa usaha untuk melaksanakan hudud di Kelantan oleh PAS adalah satu agenda politik.
Aslah memaklumkan bahawa modal hudud telah menjadi modal paling ampuh untuk memenangi sokongan rakyat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Sebab orang-orang Kelantan, bila kita cakap soal Islam, soal agama memang tidak boleh, memang cukup suka. Penerimaan bila cakap soal hukum Islam ini mereka tidak akan menolak.
“Tetapi soalnya sudah 25 tahun PAS memerintah Kelantan, dan hudud ini pun telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri, jadi kenapa tidak dilaksanakan dari dulu lagi.
“Ini satu senjata politik PAS untuk mengaburi rakyat ini, supaya rakyat terus menyokong. Bila bercakap soal Islam, rakyat Kelantan memang sensitif,” jelasnya.
Pada 19 Mac, DUN Kelantan telah meluluskan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015.
Pindaan itu mendapat sokongan seluruh Adun Kelantan dengan 44 undian tidak termasuk DUN Chempaka yang bakal menentukan siapa Adunnya pada 22 Mac ini melalui PRK.
Sumber : newmalaysianpost
KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA
