Polis Tahan 2 Anggota Isis Di Kuala Lumpur
https://selamanyaviral.blogspot.com/2015/03/polis-tahan-2-anggota-isis-di-kuala.html
PDRM berjaya menahan 2 suspek berusia 39 dan 42 tahun itu di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 26 Mac
Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 2 warganegara Iraq yang dipercayai anggota Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) di ibu negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Khalid berkata, kedua-dua suspek berkenaan ditahan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 26 Mac lalu.
“Dua orang warga Iraq yang kita percaya anggota Isis yang dihantar ke mari untuk melakukan sesuatu, dan kita dapat mematahkan perancangan mereka.
“Ancaman Isis adalah benar dan ketika kita tidak berhati-hati, kita boleh mengalami perkara yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong, di Shah Alam hari ini.
“PDRM akan gembleng sumber kita dalam mengenal pasti gerakan ini dan akan mengambil tindakan,” katanya.
Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 39 dan 42 tahun itu katanya datang ke negara ini secara sah.
Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan duta Besar 2 negara Arab yang bertugas di Kuala Lumpur, dilaporkan menerima ugutan bunuh daripada pihak tidak dikenali tetapi dipercayai dari Iraq termasuk kemungkinan besar daripada Isis.
Ugutan terhadap Duta Besar Qatar dan Duta Besar Arab Saudi itu diterima seorang pegawai khas di pejabat Kedutaan Besar Qatar di Jalan Ampang Hilir, yang disampaikan oleh seorang lelaki warga Iraq kelmarin.
Lelaki warga Iraq itu mendakwa bekerjasama dengan satu unit perisikan Iraq di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung ugutan berkenaan selain sedang mengenal pasti identiti suspek yang dipercayai masih berada di ibu negara.
“Berdasarkan maklumat awal oleh pegawai khas terbabit, lelaki warga Iraq berkenaan mendakwa kumpulan perisikan Iraq itu mempunyai banyak senjata berat di Malaysia dan bersedia untuk melakukan serangan di kedua-dua pejabat kedutaan terbabit pada 31 Mac ini.
“Selain itu, lelaki Iraq terbabit turut meminta wang tunai sebanyak RM6,000 sekiranya pihak Kedutaan Besar Qatar di Malaysia inginkan maklumat tambahan,” katanya, memetik laporan Berita Harian.
KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA