Polis Wanita Indonesia Bersyukur Dapat Tutup Aurat
https://selamanyaviral.blogspot.com/2015/03/polis-wanita-indonesia-bersyukur-dapat.html
Aceh: Lama sebelum pihak berkuasa polis Indonesia membenarkan anggota wanitanya berjilbab, polis wanita di Aceh sudah memakai pakaian yang menutup aurat itu.
Antaranya, Nina Oktaviana, anggota pasukan elit polis yang dikenali Brimob.
Menurut Nina, dia sejak awal lagi sudah menggunakan jilbab, baik ketika menjalani latihan atau menjalankan tugas di Aceh.
Menurutnya, sepanjang berpakaian menutup aurat itu, dia tidak pernah rasa terganggu, malah menurutnya, dia lebih selesa menjalankan aktiviti kepolisian.
“Alhamdulillah. Akhirnya, pihak atasan membenarkan juga muslimah dalam kalangan polis wanita untuk menutup aurat,” kata Nina kepada akhbar merdeka.com, semalam.
Dia menyifatkan keputusan polis Indonesia itu sebagai positif yang patut disyukuri kerana membolehkan wanita negara itu berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu tanpa perlu mempamerkan aurat mereka.
Sementara itu, Ketua Suruhanjaya 1 Parlimen Indonesia, Mahfuz Siddiq meminta pihak berkuasa Tentera Nasional Indonesia (TNI) turut membenarkan anggota wanitanya memakai jilbab.
Menurutnya, langkah polis Indonesia penting dan perlu menjadi contoh kepada TNI.
“Banyak negara, bukan saja negara Islam yang sudah membenarkan anggota wanitanya menutup aurat ketika menjalankan tugas. Dan kini, polis Indonesia sudah memberi kebenaran kepada anggota wanitanya. Ia seharusnya dicontohi TNI,” kata Mahfudz, ketika ditemui di Parlimen di Jakarta, semalam. - Agensi
KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA