Saiful Dan Anwar Berentap Lagi Di Mahkamah, Kes Saman RM50 Juta
https://selamanyaviral.blogspot.com/2015/03/saiful-dan-anwar-berentap-lagi-di.html
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa berentap lagi dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di mahkamah Ogos depan.
Ini kerana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan beberapa tarikh perbicaraan bagi mendengar kes saman RM50 juta yang difailkan oleh Mohd Saiful terhadap bekas majikannya Anwar yang juga Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Pesuruhjaya Kehakiman, Azizul Azmi Adnan menetapkan tiga hari mulai 10 hingga 14 Ogos untuk mula mendengar kes itu.
Kemudian tarikh-tarikh yang ditetapkan ialah 17, 18, 21, 24 dan 25 Ogos.
Azizul membuat keputusan menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya, Jumaat, lapor beberapa portal berita tempatan termasuk Harian Metro serta Malaysiakini.
Untuk rekod, Mohd Saiful memfailkan saman terhadap Anwar bagi menuntut ganti rugi RM50 juta pada 23 Jun tahun lepas berhubung kes liwatnya pada 2008.
Saiful, 28, memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, melalui Tetuan Zamri Idrus & Co. Media dan memperoleh salinan pernyataan tuntutannya pada 13 Mac tahun lepas selepas kes itu disebut untuk pengurusan.
Dalam writ samannya, Mohd Saiful mendakwa beliau mengalami kesakitan fizikal dan menanggung penderitaan sejak 2008 sehingga kini akibat diliwat oleh defendan (Anwar) dan selepas Anwar menuduh laporan polis yang dibuatnya mengenai kejadian liwat itu sebagai satu fitnah dan konspirasi terhadapnya.
Saiful dalam samannya berkata, perbuatan liwat itu adalah suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Anwar perlu membayar ganti rugi kepadanya di atas perbuatan liwat itu selain akibat fitnah yang dilemparkan Anwar berhubung laporan polis yang dibuatnya itu.
Saiful mendakwa defendan (Anwar) sesungguhnya bertanggungjawab ke atas segala kerosakan dan kehilangan yang dialami beliau akibat diliwat oleh defendan.
Menurut Mohd Saiful beliau tidak pernah berbohong mengenai kandungan laporan polis itu yang menyatakan Anwar meliwatnya dan kali terakhir kejadian itu berlaku pada 26 Jun, 2008, di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, .
Kata Saiful, kandungan laporan polis itu menceritakan insiden yang benar-benar terjadi dan kejadian liwat itu memang benar-benar berlaku tanpa kerelaannya.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Saiful berkata beliau bekerja dengan Anwar mulai Mac 2008 sehingga Jun tahun yang sama ketika berusia 22 tahun dan sering dibawa Anwar untuk urusan di dalam dan luar negara.
Katanya lagi, beliau dipandang rendah oleh masyarakat yang mempercayai tuduhan Anwar kononnya beliau berbohong dan mmereka-reka cerita kejadian liwat keatasnya itu, dicemuh di laman-laman sosial dan mengalami tekanan teruk akibat fitnah dan kejadian liwat itu.
Sehubungan itu, Saiful memohon ganti rugi RM50 juta ganti rugi am, khas, teruk, faedah, kos dan lain-lain relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Pada 13 Mac 2014, mahkamah memerintahkan Anwar yang ketika itu diwakili peguam Shahid Adli memfailkan pernyataan pembelaannya sebelum 3 September.
Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar kerana meliwat Saiful selepas membenarkan rayuan pihak pendakwa raya untuk mensabitkan Anwar atas pertuduhan meliwat Mohd saiful setelah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari, 2012 yang melepaskan Anwar.
Seterusnya Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu, mengekalkan sabitan bersalah serta hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar oleh Mahkamah Rayuan itu dan beliau yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh sedang menanti keputusan petisyen pengampunan Diraja yang difailkan oleh ahli keluarganya kepada Yang Dipertuan Agong.
KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA