Pemandu Teksi Berani Bersumpah Kes 4 Gadis 'Histeria' Di Stesen Petron
https://selamanyaviral.blogspot.com/2015/04/pemandu-teksi-berani-bersumpah-kes-4.html
SHAH ALAM - Kejadian yang melibatkan seorang pemandu teksi dan pemandu Myvi masih lagi hangat dibualkan di media sosial. Namun kali ini, pemandu teksi berkenaan tampil berdepan dengan media menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.
"Sebenarnya apa yang didakwa mereka (kumpulan gadis itu) tidak benar. Malah saya berani bersumpah dengan nama Allah SWT yang saya ditendang dan dipukul terlebih dahulu," katanya Azmi Mat Mokhtar, 54, yang terbabit dalam insiden itu.
Azmi berasa sedih dan terkilan apabila netizen dengan sewenang-wenangnya menuduh dia bertindak memukul gadis-gadis itu dulu.
Jelasnya, pada hari kejadian, dia bersama dengan isterinya dalam perjalanan menemui anak saudaranya yang belajar di sebuah universiti di sini.
"Kereta yang dinaiki kumpulan gadis itu dipandu dalam keadaan tergopoh-gapah sebelum bergesel dengan teksi saya di bahagian hadapan,"
"Saya membunyikan hon namun mereka tidak berhenti sebelum saya masuk ke sebuah stesen minyak," katanya.
Azmi mengekori kereta itu dan menghalangnya sebelum gadis itu keluar dan memukulnya.
"Ketika saya keluar dari teksi itu, salah seorang gadis datang dan menendang celah kelangkang sehingga saya terduduk. Selepas itu datang lagi tiga gadis memukul dada saya," katanya
Menurutnya, dia menepis pukulan gadis itu sebelum isterinya keluar dari dalam teksi meminta kumpulan gadis itu bertenang.
Azmi mendakwa, ketika itu dia berlakon mahu merakam video kejadian itu tetapi salah seorang gadis terbabit merampas telefon bimbitnya dan membalingnya.
"Saya keluarkan satu lagi telefon bimbit dan seorang lagi gadis itu menepisnya sehingga terjatuh. Ini menyebabkan saya menanggung kos kira-kira RM950 membaiki kedua-dua telefon bimbit itu," katanya.
Azmi yang juga bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, isterinya meminta kumpulan gadis itu mengucap serta bersabar tetapi tidak diendahkan. Sebaliknya mereka terus mengeluarkan kata-kata kesat.
"Lillahitaala.. mereka yang memukul saya dulu. Mereka seperti terkena histeria masa itu.
"Saya orang tua dan jika mereka bercakap lembut dan bersabar, perkara ini boleh diselesaikan," katanya.
Mengenai rakaman video berkenaan, Azmi tidak mengetahui bagaimana ia tersebar namun dia berani tampil semalam untuk menceritakan keadaan sebenar selepas berasa maruahnya tercabar.
"Pada saya insiden ini boleh diselesaikan dengan cara baik. Saya ada anak perempuan dan tak sanggup memukul mereka.
"Bagaimanapun jika mereka mahu mengambil tindakan ke atas saya, terpulang," katanya.
Menurutnya, dia membuat dua laporan polis iaitu berkaitan kes trafik dan jenayah apabila turut cedera pada mata dan hidung selepas ditumbuk seorang lelaki dipercayai bapa kepada kumpulan gadis itu.
Bagaimanapun katanya, dia sudah memaafkan bapa serta gadis berkenaan selepas kejadian itu.
"Walaupun saya ditumbuk, saya sudah maafkan ayah dia malah saya turut bersalaman dengannya di balai polis.
"Begitu juga dengan gadis itu saya pun sudah maafkan mereka dan jika mereka mahu berjumpa dengan saya tiada masalah," katanya.
KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA