INFO MENARIK!!

Warna Rambut, Dosa Pahala Saya Tanggung Sendiri - Hafiz Suip


PENYANYI popular, Hafiz Suip, 25, mengaku kesilapannya mewarnakan rambut sehingga menerima tomahan ramai pihak.

Biarpun menerima kritikan, pelantun lagu Matahari ini tidak mahu terlalu memikirkan hal tersebut.

Sebaliknya, dia mengambil pendekatan berdiam diri dan membiarkan tomahan tersebut reda.

“Saya menerima banyak tomahan tapi saya tidak ambil peduli sangat apa yang kata orang kerana apa yang terletak pada hati masing-masing. Apa yang penting nawaitu kita.

“Saya tidak melenting bila dikritik. Saya hanya berdiam saja kerana saya tahu lambat laun orang akan berhenti bercakap dan perkara ini akan reda sendiri.

“Apa yang saya buat ini, dosa dan pahala saya tanggung sendiri. Janji saya tidak tinggal solat dan soal itu biar antara saya dengan Tuhan,” komennya terhadap isu tersebut.

Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu runut bunyi filem Pilot Cafe berjudul Untuk Cinta, di Kuala Lumpur, semalam

Jelasnya, dia menukar gaya rambutnya kerana bosan dengan gaya yang sama lantas dia mendapat idea untuk cuba mewarnakan rambut.

Namun begitu, malangnya percubaan awal Hafiz mahu mewarnakan rambut dengan warna pilihannya sendiri tidak memberi hasil seperti yang diinginkan. Justeru, dia terpaksa menukar dengan warna lain.

“Saya memang sudah lama merancang mahu tukar gaya rambut tetapi apabila saya fikirkan semula, kalau simpan panjang nanti rambut saya kembang. Malah, ia memerlukan penjagaan rapi dan itu satu kerja yang renyah.

“Jadi, saya rasa nak cuba warnakan rambut pula. Sewaktu saya balik ke Kuching tempoh hari, saya pergi ke salon untuk warnakan rambut tetapi hasilnya rambut saya jadi warna merah bukannya seperti warna yang saya mahu.

“Bila balik ke Kuala Lumpur, saya ke sebuah salon di Subang. Penggaya rambut di sana beritahu yang warna rambut yang saya inginkan susah nak dapat sebab rambut saya jenis rambut orang asia.

“Cuma ada satu cara saja iaitu rambut saya dibilas dan kemudian barulah diwarnakan semula dan akhirnya dapatlah warna ‘ash silver grey’,” jelasnya dengan panjang lebar.

Sementara itu, berkongsi mengenai gandingannya sekali lagi bersama Adira menerusi lagu Untuk Cinta, Hafiz menyatakan mereka dapat bekerjasama dengan baik.

“Ini kali kedua kami bergandingan selepas lagu Ombak Rindu empat tahun lalu. Kami profesional. Lagipun perkara itu sudah lepas, dan masing-masing sudah tiada perasaan lagi.

“Tapi saya dengan Adira sehingga kini tetap sebagai kawan. Lagipun kami dibawah pengurusan yang sama, tiada masalah langsung jika menuntut kami berganding sama”, katanya.

Perkembangan lain, Hafiz kini sibuk mengumpul material untuk album terbaharunya.

Selain itu, Hafiz juga memberitahu dia mungkin akan melangsungkan perkahwinanya sekitar awal tahun depan.

“Setakat ini tidak ada tarikh sebenar tetapi tunang saya akan tamat belajar sekitar Ogos atau September tahun ini. Insha Allah, kami akan bernikah dalam awal tahun depan atau bulan Mei sempena ulang tahun kelahiran tunang saya.

“Kalau ikutkan saya mahu beri peluang tunang saya timba pengalaman bekerja dulu sekurang-kurang 6 bulan. Namun, jika keluarga mahukan kami segera bernikah, kami hormati keputusan mereka”, katanya.

-mD

KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA

Artikel Berkaitan

Hiburan 4984678762117557209

Post a Comment

Tips Menarik

Artikel Panas

item