MasyaAllah: Jenazah Terpaksa Diusung Guna Tangga
https://selamanyaviral.blogspot.com/2015/05/masyaallah-jenazah-terpaksa-diusung.html
SUBANG JAYA – “Lif bomba di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya itu memang selalu rosak, sudah dibaiki tapi lepas tu kembali tidak berfungsi,” demikian reaksi Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli.
Beliau yang mengulas isu jenazah anggota polis yang didakwa terpaksa diusung menggunakan tangga dari tingkat lapan kuarters tersebut kelmarin berkata, pihaknya sudah mengadukan masalah itu kepada syarikat selenggara lif.
Menurutnya, terdapat empat lif di dua blok pangsapuri kuarters, hanya setiap satu daripadanya rosak manakala lif dengan saiz lebih kecil berfungsi seperti biasa.
Katanya, jenazah berusia 52 tahun yang meninggal dunia kerana penyakit jantung dibawa turun dengan tilam.
“Jadi tak muat sebab lif yang berfungsi saiznya kecil, jika dibawa turun menggunakan pengusung mungkin tiada masalah, cuma kedudukan jenazah perlu diserongkan sedikit,” katanya.
Yahaya berkata, namun jika lif bomba beroperasi seperti sediakala tidak timbul masalah tersebut.
“Lif tu memang selalu rosak, kalau tahan pintunya lama sikit pun sistemnya akan terganggu. Saya dah hubungi syarikat selenggara lif mereka janji nak datang tengok petang ini (semalam),” katanya.
Sementara itu, semalam kecoh di laman sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai kes jenazah anggota polis yang dilapor terpaksa diturunkan menggunakan tangga kerana kemudahan lif mengalami kerosakan.
KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA