Wanita Rugi RM890, Beli iPhone Dapat Biskut
https://selamanyaviral.blogspot.com/2015/05/wanita-rugi-rm890-beli-iphone-dapat.html
KUALA TERENGGANU - Malang nasib seorang pengguna apabila angan-angannya untuk memiliki iPhone 6 hancur lebur berderai seperti pasir di tepi pantai.
Menurut mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Nor, 40, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM890!
Jelas Nor, dia berurusniaga dengan seorang penjual online membeli sebuah telefon pintar iPhone 6 untuk dihadiahkan kepada anaknya pada pertengahan April lalu.
“Pada awalnya si penjual meletakkan harga RM2,050, namun dia sendiri secara sukarela hendak memberi diskaun barang tersebut dengan harga RM1,890 sekiranya saya berminat.
“Setelah bertanyakan beberapa soalan bagi meyakinkan saya memandangkan sebelum ini anak pernah tertipu, jadi saya bersetuju kerana si penjual ini pandai berkata-kata seolah-olah sudah memiliki pengalaman yang luas,” katanya.
Apabila kedua-dua pihak bersetuju dengan tawaran yang diberikan, mangsa membuat bayaran tempahan sebanyak RM300 dan baki bayaran perlu dijelaskan apabila barang sudah diterima.
“Namun, semasa barang saya hendak dihantar, si penjual sekali lagi menghantar gambar bungkusan tersebut kononnya barang sudah dipos sebelum meminta saya memasukkan lagi RM590. Jadi, saya tanpa berfikir panjang, yang dengan melihat bukti gambar yang dihantar itu, saya terus memasukkan wang seperti yang diminta ke akaunnya,” katanya.
Setelah menunggu hampir seminggu, barang yang dijanjikan tiba jua. Namun, alangkah terkejutnya apabila mangsa mendapati di dalam bungkusan itu hanya ada beberapa bungkus kepingan biskut yang diletakkan dalam kotak iPhone 6 itu.
“Hanya ALLAH SWT yang tahu perasaan saya ketika melihat kepingan biskut di dalam kotak tersebut, mahalnya nilai biskut ni, RM890,” katanya.
Sebaik menyedari dirinya ditipu, mangsa cuba bertanya tentang barangan yang ditempah itu kepada peniaga online terbabit bernama Hafriz, berasal dari Kangar, Perlis itu.
“Tapi, sehingga ke saat ini saya masih belum mendapat jawapan yang memuaskan, malah sehingga hari ini, dia masih lagi aktif kerana laman web dan instagram yang digunakan berurus niaga dengan saya masih lagi ada,” katanya.
Demi mempertahankan haknya sebagai pengguna dan memastikan pengguna lain tidak mengalami nasib yang sama dengannya, Nor mengambil keputusan membuat laporan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA