74 Bayi Albino Dibunuh Dan Dikerat-Kerat
https://selamanyaviral.blogspot.com/2015/02/74-bayi-albino-dibunuh-dan-dikerat-kerat.html

DODOMA - Mayat seorang bayi albino dengan beberapa anggota badannya yang dikerat, ditemui di Tanzania.
Polis percaya, ia merupakan kes terbaru untuk mendapatkan anggota badan manusia bagi amalan ilmu hitam.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengecam pembunuhan kejam itu dan mendakwa tindakan kejam itu dilakukan oleh sesetengah pihak yang menggunakan bomoh bagi tujuan meraih kemenangan dengan cara kotor.
Keadaan itu mencetuskan bahaya dan rasa tidak selamat pada golongan albino.
Difahamkan, bayi berusia setahun, Yohana Bahati diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di kediamnya, daerah Chato, Tanzania pada Sabtu lalu.
Polis menemui mayat bayi lelaki itu di sebuah kawasan hutan yang tidak jauh dari kediamannya kelmarin.
“Tangan dan kaki mangsa telah dikerat,” kata seorang ketua polis tempatan, Joseph Konyo.
Ibu mangsa, Ester Jonas, 30, pula cedera parah di sebuah hospital akibat muka dan tangannya dikelar selepas dia cuba melindungi anaknya.
Pembunuhan itu menyusul selepas kes penculikan seorang budak perempuan albino berumur empat tahun juga di utara Tanzania pada Disember lalu.
Polis telah melakukan beberapa tangkapan tetapi budak perempuan itu masih belum ditemui.
Ketua PBB di Tanzania, Alvaro Rodriguez berkata, beliau amat bimbang berhubung penculikan dua kanak-kanak itu.
“Sekurang-kurangnya 74 albino telah dibunuh di Tanzania sejak tahun 2000,” kata Rodriguez.
Menurutnya, anggota-anggota badan albino itu digunakan oleh bomoh dalam amalan ilmu hitam bagi membantu pelanggan mereka.
Anggota badan albino itu dijual pada harga sekitar AS$600 di Tanzania manakala keseluruhan mayat berharga AS$75,000, menurut PBB.
Sindrom albino merupakan keadaan genetik yang menyebabkan kehilangan pigmen pada kulit, rambut dan mata.