Suami Isteri Dipenjara Hanya Kerana Berjanggut Dan Berpurdah
https://selamanyaviral.blogspot.com/2015/03/suami-isteri-dipenjara-hanya-kerana.html
BEIJING - Gara-gara menyimpan janggut dan berpurdah, pasangan suami isteri dikenakan hukuman penjara oleh pihak berkuasa tempatan.
Lapor China Youth Daily, seorang lelaki Uighur berumur 38 tahun didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara enam tahun kerana membela janggut oleh pihak mahkamah Bandar Kashgar.
Manakala, isterinya pula dipenjara selama dua tahun kerana berpurdah.
Difahamkan lelaki itu mula membela janggutnya pada tahun 2010 dan isterinya berpurdah. Mereka sebelum ini pernah diberikan amaran oleh pihak berkuasa Wilayah Xinjiang, China. Namun tidak diendahkan menyebabkan kedua-duanya ditahan dan dihadapkan ke mahkamah.
Pasangan terbabit didapati bersalah atas pertuduhan mencetuskan pergaduhan dan sengaja menimbulkan masalah. Ianya adalah satu dakwaan yang biasa digunakan dalam sistem kehakiman di negara itu.
Amalan menyimpan janggut dan berpurdah amat digalakkan oleh pihak berkuasa wilayah berkenaan. Bagi individu yang melanggar peraturan itu akan didakwa dan dijatuhkan hukuman.
Menurut pihak berkuasa Xinjiang, amalan itu tidak sesuai diamalkan dan dikaitkan dengan ekstrimis. Kempen menentang lelaki berjanggut telah dijalankan sejak setahun yang lalu.
Manakala kempen yang diberi nama “Projek kecantikan” pula menggalakkan wanita tidak memakai purdah, perbuatan yang semakin menjadi ikutan di kalangan etnik Uighur beragama Islam di Xinjiang.
Tindakan Beijing yang dilihat menekan dan menghalang etnik Uighur mengamalkan budaya serta agama mereka adalah punca ketegangan di Xinjiang yang semakin memuncak.
Keganasan turut meningkat tahun lalu, di mana sekurang-kurangnya 200 orang terbunuh dalam satu siri letupan dan pertempuran dengan pasukan keselamatan, yang Beijing dakwa berpunca daripada ekstrimis agama dan puak pemisah.
Pada April 2014, pihak berkuasa di Daerah Shaya bertindak menawarkan ganjaran tunai kepada mereka yang melaporkan jiran berjanggut.
Pada Ogos tahun lalu pula, pihak berkuasa di Bandar Karamay melarang lelaki berjanggut atau berjubah menaiki bas awam.
KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA