INFO MENARIK!!

Warga Malaysia Ceritakan Pengalaman Gempa Bumi Di Nepal


PETALING JAYA: Seorang kenalan pernah memberitahu saya bahawa kita tidak perlu pergi sejauh Switzerland untuk melihat gunung-ganang dan tasik yang indah.

Satu hanya perlu terbang ke Nepal, yang lebih dekat.

Nama rakan saya itu adalah Bushan Santara Sagran, seorang ahli perniagaan berusia lingkungan 30-an.

Beliau sama sekali tidak menyangka bahawa perjalanan terbarunya ke Nepal akan mengubah hidupnya buat selama-lamanya.

Bushan dan rakannya berlepas dari Malaysia pada 24 April untuk ke Nepal, dan tiba pada waktu malam.

"Kami mendaftar masuk ke Hotel Thamel di Kathmandu. Oleh kerana ia adalah cuti umum pada hari berikutnya (Sabtu 25 April), kami mengambil keputusan untuk berjalan-jalan ke sekitar bandar dan membeli-belah.

"Rakan saya, yang bersama dengan saya, mahu membeli baju sejuk dan kami memasuki sebuah rumah kedai lama untuk melihat barangan mereka," jelas Bushan kepada Semut Harian.

Kerana rakannya tidak dapat mencari baju sejuk yang dikehendakinya di tingkat bawah, mereka dibawa ke tingkat lima.

"Kami berjalan sehingga tingkat lima dan sewaktu kawan saya mencuba sepasang baju sejuk, bangunan itu mula bergoncang.

“Kami berpegang antara satu sama lain dan ini berlangsung selama kira-kira 45 saat. Saya ingatkan bahawa bangunan itu, yang kelihatan usang, yang hendak runtuh kerana strukturnya. Saya tidak menyangka yang ianya adalah disebabkan sebuah gempa bumi," kata Bushan.

Sewaktu mereka turun, mereka menyedari bahawa sebuah bangunan bertentangan telah runtuh.

Barulah Bushan menyedari gempa bumi baru berlaku.

"Saya masih agak tenang kerana saya sangka yang ianya telah tamat dengan tetapi saya salah. Dalam beberapa hari selepas itu, terdapat gegaran setiap beberapa jam disebabkan gempa susulan yang akan berlaku selama lima ke tujuh saat," kata Bushan.

Tetapi apa yang lebih menghantuinya adalah melihat orang-orang yang cedera dan berlumuran darah di mana-mana, tanpa adanya bantuan.

“Seolah-olah tidak ada bantuan tersusun. Mereka yang cedera berbaring tetapi pasukan kecemasan mereka lewat tiba. Pasukan kecemasan mereka bukan seperti kita.

"Saya hanya melihat kira-kira empat buah ambulans sepanjang masa saya berada di sana. Saya rasa sangat sedih kerana saya tidak berdaya untuk membantu mereka," kata Bushan.

Bushan dan rakan sekerja beliau juga tidak boleh kembali ke hotel mereka kerana pintu masuknya telah runtuh.

Mereka fikir bahawa jalan yang terbaik adalah untuk pergi sejauh yang mungkin dari kawasan itu.

“Kami kemudian cuba untuk mendapatkan teksi untuk membawa kami jauh dari kawasan itu, dan kami membayar USD200 (RM709) kepada pemandunya untuk membawa kami sejauh dua jam perjalanan ke sebuah tempat yang bernama Nagarkot. Jalan-jalannya telah retak tetapi kami menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda dan kami berjaya melalui keretakan itu.

"Kami juga telah membayar AS$100 (RM354) untuk sebuah hotel di sana tetapi apabila tiba di sana, kami mendapati bahawa hotel itu juga telah runtuh. Barulah kami sedar bahawa tidak ada gunanya pergi ke mana-mana kecuali ke lapangan terbang Kathmandu, supaya kami boleh pulang secepat yang mungkin," kata Bushan.

Suasana yang mereka temui apabila kembali ke lapangan terbang, adalah sama seperti Batu Caves semasa Thaipusam.

"Ia sesak. Lapangan terbang itu juga ditutup. Kami tahu yang kami tidak dapat pulang ke rumah pada hari itu.

"Kami kemudian menempah sebuah hotel lain dan membayar USD80 (RM283) satu malam untuknya, tetapi kami tidak dibenarkan tidur di dalam bangunan. Kami tidur di tamannya selepas membawa bantal dan selimut dari bilik kami.


“Hotel ini memasak nasi, kubis dan kacang dal, dan kami beratur di luar hotel seperti tahanan untuk makanan yang berharga USD12 (RM42) bagi setiap orang. Makanan itu, walaupun tidak seberapa, adalah sangat berharga kerana hanya satu hidangan yang dimasak setiap hari. Ini kerana kakitangan hotel tidak berani memasak di dapur kerana gegaran," kata Bushan.

Pada 26 April, mereka kembali ke lapangan terbang, tetapi ia masih sesak dan walaupun majikannya telah membelikan mereka tiket untuk pulang ke rumah, pesawat itu tidak dibenarkan untuk mendarat.

"Kami tidak mempunyai pilihan melainkan kembali ke hotel. Saya kemudian menulis e-mel kepada Kedutaan Malaysia dan mereka menjawab dengan segera. Nasib baik hotel itu masih mempunyai WiFi.

“Duta Besar Malaysia ke Nepal, Fadlee Adilah, sangat baik hati. Beliau memberitahu kami lokasi untuk bertemu dengannya, apa yang perlu dilakukan dan yang dia telah mengaturkan sebuah kapal terbang untuk membawa kami pulang. Beliau dan beberapa kakitangannya juga membawa pulang sebahagian dari rakyat Malaysia ke rumah mereka, untuk membersihkan diri dan berehat.

"Terdapat beberapa rakyat Malaysia yang menjerit terhadapnya kerana kekurangan makanan tetapi beliau mengendalikannya secara profesional. Bukannya mereka tidak mahu memberikan kami makanan, tetapi bekalan tidak ada," kata Bushan.

Bushan dan rakannya tiba di Malaysia pada jam 2 pagi pada 29 April, selepas menaiki sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia.

Mereka adalah golongan yang bertuah.

Apabila ditanyakan tentang perasaannya mengenai kejadian ini, Bushan berkata: "Ini seperti sebuah peluang kedua untuk saya meneruskan kehidupan. Saya merasa sedih bagi mereka (warga Nepal). Saya boleh kembali ke rumah saya, tetapi mereka tidak mempunyai rumah untuk kembali. "

Namun apa yang mengecewakannya adalah warga-warga tempatan yang bergegas untuk meninggalkan negara itu.

"Ini adalah negara anda dan anda cuba untuk keluar, tetapi pada masa yang sama terdapat ramai yang datang ke Nepal dari seluruh dunia untuk membantu rakyat anda.

"Jika saya tidak mendapat penerbangan pulang, saya pasti sudah tinggal untuk membantu. Penduduk tempatan harus tinggal untuk membantu rakyat mereka sendiri, dan bukannya melarikan diri," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan kembali ke Nepal, Bushan berkata sudah pasti.

"Jika sudah sampai ajal, ia akan berlaku tidak kira di mana saya berada.

"Insiden ini telah mengubah hidup saya. Saya mahu belajar bagaimana untuk menyertai misi kemanusiaan supaya pada masa akan datang, saya akan mempunyai kemahiran yang betul untuk membantu dalam situasi-situasi sebegini," kata Bushan.

Ingatan dan doa kita ada bersama keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan mereka yang menjadi mangsa gempa bumi di Nepal, sewaktu angka kematian terus meningkat.

Pada pagi 30 April, CNN memetik Pusat Penyelarasan Kecemasan Kebangsaan Nepal sebagai menyatakan bahawa sejumlah 5,489 orang telah disahkan meninggal dunia akibat gempa bumi ini, dan 11,440 yang lain telah cedera.

Apa yang lebih menyayat hati adalah hakikat bahawa pegawai-pegawai telah memberi amaran bahawa angka kematian ini dijangka akan meningkat.

Walaupun kita bersyukur yang rakyat Malaysia seperti Bushan telah terselamat, kejadian seperti ini mengajar kita betapa berharganya nyawa kita, dan betapa mudahnya ia boleh direnggut.

Yang paling penting, ia mengajar kita untuk menghargai apa yang kita ada dan untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik.

Peristiwa ini telah membuat Bushan mahu pergi ke sana untuk membantu.

Terdapat ramai rakyat Nepal yang bekerja di negara kita. Kita juga boleh membantu dengan bertanyakan jika mereka ada memerlukan apa-apa, atau dengan menyumbang kepada misi mereka yang akan ke negara itu untuk memberikan bantuan kemanusiaan.

KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA

Artikel Berkaitan

isu semasa 8044572897452924714

Post a Comment

Tips Menarik

Artikel Panas

item