Mangsa Kemalangan Minta Tolong Sebelum Meninggal Dunia
https://selamanyaviral.blogspot.com/2015/05/mangsa-kemalangan-minta-tolong-sebelum.html
REMBAU – Seorang pemandu syarikat kurier yang tersepit di bahagian tempat duduk hadapan sempat meminta tolong sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas terlibat kemalangan di kilometer 231.9 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, malam kelmarin.
Mangsa, Vizaidi M Sapian, 27, yang beralamat di Temerloh, Pahang, maut selepas tersepit kira-kira 30 minit selepas lori yang dipandunya merempuh bahagian belakang lori treler seberat 30 tan dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam.
Menurut pemandu treler, Mohd Fakhri Zuhaidy, 30, sebelum kejadian dia dalam perjalanan dari Segamat, Johor ke Sungai Buluh, Selangor bagi menghantar muatan perabot.
“Saya seperti biasa menggunakan gear rendah sebaik treler mendaki kawasan berbukit dan tiba-tiba dengar bunyi berdentum dari arah belakang treler.
“Saya cepat-cepat ingin memberhentikan treler di lorong kecemasan, bagaimanapun saya rasa seperti ada kenderaan melekat di bahagian belakang treler,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, malam kelmarin.
Fakhri berkata, sebaik memberhentikan treler dia terus meluru ke arah pemandu lori dan pemandu lori berada dalam keadaan sedar dan meminta untuk membantunya keluar dari lori berkenaan.
"Saya dan orang awam yang lain bagaimanapun tidak dapat membantunya yang meminta tolong untuk dikeluarkan kerana mangsa sudah tersepit.
"Jadi, saya menjauhinya kerana berasa takut dan fobia sekiranya dia meninggal dunia di hadapan saya. Tak lama kemudian, dari jauh saya lihat orang ramai seolah-olah mengejutkan mangsa yang ingin tidur," katanya.
Rakan sekerja mangsa, Mohd Niswan Mohd Nor, 37, berkata, ketika kejadian dia juga dalam perjalanan menghantar surat serta barangan dari Johor Bahru ke Shah Alam sementara mangsa dari Batu Pahat ke destinasi sama.
"Kali terakhir kami berjumpa adalah sehari sebelum kejadian. Mangsa yang merupakan anak yatim piatu seperti biasa kelihatan ceria bercerita mengenai penyertaannya ke kawasan rekreasi bersama konvoi Kelab Myvinya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian berkenaan yang akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan kesihatan dan mayatnya di bawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat," katanya.
KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA